KUALA TERENGGANU: Persoalan mengenai calon yang akan dipertaruhkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan diketahui malam ini.

Teka-teki itu bakal terjawab menerusi Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman yang dijadualkan diadakan di Chukai, Kemaman.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dikaitkan sebagai calon antaranya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di mana nama beliau dikatakan berada dalam senarai calon yang dipilih.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kepastian atau bayangan kukuh yang diberikan bahawa pemimpin nombor satu Terengganu itu dipilih sebagai calon sekali gus bakal mengangkat beliau ke Parlimen sekiranya kemenangan berpihak kepada PN.

Namun sehari dua ini, nama Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman, Hazri Jusoh atau lebih mesra dengan gelaran Ustaz Hazri diperkatakan ramai sebagai calon yang dipilih Pas untuk bertanding dalam PRK itu.

Menurut sumber dalaman Pas, Hazri yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal antara tulang belakang Pas di Parlimen itu yang digemari ramai kerana sering turun padang dan tidak jemu menyelami permasalahan rakyat.

Hal itu menjadikan beliau antara individu hampir pasti akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya yang bakal berlangsung 2 Disember depan.

Jika diperhatikan latar belakang Hazri, beliau sebelum ini pernah dipilih untuk bertanding di kerusi DUN Kijal untuk melawan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun tewas.

Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan Hazri memperoleh 8,082 undi berbanding Ahmad yang mendapat 9,545 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Wan Marzuki Wan Sembok (1,472 undi).

Selain Hazri, terdapat juga desas-desus bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai merangkap Timbalan Yang Dipertua Pas Kemaman iaitu Hanafiah Mat termasuk dalam senarai calon.

Sebelum ini, turut dikaitkan sebagai calon ialah nama-nama besar dalam politik negara iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Apapun khabar angin, sudah pasti ramai yang tidak sabar menanti siapakah lawan kepada tokoh terkemuka iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang diangkat sebagai calon BN baru-baru ini.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada 26 September lalu

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi.

Pertarungan empat penjuru itu menyaksikan Che Alias menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi). - Sinar Harian